5/31/12

bintang


Semalam, sedang aku duduk di buaian melihat bintang. Kelihatan satu kilauan terang meluncur laju. Terus ke sebelah ku. Aku menutup mata menjangkakan akan berlaku letupan.
“kenapa kamu menutup mata? Bukalah, dan lihatlah aku. Mari. Berbual bersamaku”
Perlahan-lahan kubukakan mata, di depan ku sedang duduk merenung ku kembali. Seorang gadis cantik. Berpakaian serba putih, dengan sayap di belakangnya.
“kalau kamu hantu, jangan makan aku. Tolong”
“ah, kamu manusia dengan mentaliti lapuk kamu, aku bukan hantu, aku Cuma sang bintang. Lelah bergantung di awan, datang melihat bumi sebentar”
Jadi malam itu, aku berbual bersama bintang. Tentang dunia, tentang galaksi, tentang dosa, tentang semua. Sampai satu masa bintang bingkas bangun sambil melihat jam di tangan kanannya.
“ah, sudah pagi, aku mahu pulang ke tempat asal ku. Kamu mahu ikut? Melawat dunia baru”
Aku mengangguk laju. Bintang tersenyum lalu menghulurkan tangannya ke arah ku. aku memandang buat kali terakhir kawasan sekeliling. Aku nekad, mahu meninggalkan bumi dan menjadi bintang di langit. Bersinar. 

**************************************************

“jadi anakku, macam tulah wujudnya bintang paling terang di alam semesta”
Arif mengangguk tanda faham.
“dah, masa untuk tidur. esok papa ceritakan tentang bulan pula ya”

**************************************************

“mama, mama, semalamkan papa cerita kan ke arif tentang macam mana ada bintang paling terang di alam semesta sebelum arif tidur!!!!”
Mamanya tergamam. Dia tersenyum sambil mengusap kepala arif. Dia tahu anak kecil itu masih belum mengerti yang bapanya sudah pergi mengadap ilahi.

5/19/12

kerana nombor yang tidak dikenali.


Pagi ini aku dikejutkan lagi dengan missed call dari nombor yang tak dikenali. Selalunya aku tak ambil kisah pun. Tapi hari ni, hati aku memaksa-maksa aku menelefon kembali nombor yang tak dikenali itu.  Nasib baik akal aku masih waras, aku mengambil keputusan untuk mengosok gigi dulu sebelum mendail nombor yang tak dikenali itu.
Usai memastikan tiada lagi tahi-tahi gigi di celahan. Aku kembali merenung skrin telefon bimbit ku. Masih memikirkan keperluan aku menelefon kembali nombor yang tidak dikenali itu. Sedang akal mengatakan tidak perlu, hati aku pula memaksa aku. Jadi, aku pilih kata hati. Perlahan-lahan aku mendail kembali nombor tidak dikenali itu.

“helo?”

Aku membuka mata perlahan-lahan. Kepala masih lagi berdenyut. Seluruh urat sendi di badan sakit-sakit. Aku masih lagi belum pasti di mana aku sekarang ini, kesemuanya masih samar-samar. Yang pasti aku bukan dalam bilik aku lagi.
“awak ok? Kenapa berbaring di tengah jalan? Nanti dilanggar kereta lembu. Bahaya”
           
    Suara halus lemah gemalai mengamit telingaku. Aku berpaling mencari punca suara.  Di belakangku, kelihatan seorang gadis genit berkulit putih, sedang tersenyum memandang ku yang sedang di dalam kekeliruan. Aku segera bangun dari pembaringan. Cuba memaniskan muka sambil tersenyum memandang ke arah gadis genit.
“kereta lembu? Di mana saya? Dan ini tahun berapa?”
Si gadis genit tergelak kecil. Dia Cuma tersenyum lalu menarik tangan ku menyuruhku mengikuti dia. Kemana? Aku sendiri tak tahu. Rakan-rakanku pernah berkata, ‘andai ada si gadis comel menyuruh kamu mengikutnya, jangan menolak. Itu rezeki namanya’

                Akhirnya si gadis genit berhenti di hadapan sebuah rumah kayu dua tingkat. Kelihatan dua, tiga orang jejaka berpakaian baju melayu dan bertanjak sedang mengawal sekeliling kawasan rumah sambil membawa sebilah tombak.
“awak, tuanku dah lama menunggu awak. Pergilah masuk menghadap.”
“tuanku? Menghadap? Apa awak cakap ni?”
“awak, awak pergi lah masuk ke istana, katakan ke pengawal, yang tuanku ingin berjumpa sama awak”
                Belum sempat aku meminta kepastian dan penjelasan tentang apa yang sedang berlaku, si gadis genit sudah berlari pergi.  Ah sudah, raja mana pulak cari aku ni. Kemain menyusahkan betul kata aku dalam hati.

5/17/12


“nak satu?” 

Ayat pertama yang keluar dari mulut si gadis genit yang comel itu. Aku terpana. Entah mengapa tiba-tiba dia ingin berkongsi gula-gula hacks yang baru dibelinya sebentar tadi kepada ku. Mungkin dia kasihan melihat aku terbatuk-batuk. Aku tersenyum dan mengambil gula-gula hacks itu dari tangannya. Dia senyum kembali seraya menghulurkan tangan ingin bersalaman.

“saya syafinas.”

Sambil membalas salaman yang diberikan. Aku kembali menyapa. Gadis secantik ini yang ingin berkawan denganku umpama bulan jatuh keriba. Tak patut aku lepaskan begitu saja.

Perkenalan dari sebiji gula-gula hacks yang berperisa pudina itu membawa kepada perhubungan yang lebih rapat dalam masa dua bulan sahaja. Aku sendiri keliru bagaimana anak kepada seorang yang mempunyai pangkat dato’ boleh berkawan rapat dengan lelaki gelandangan seperti aku. Mungkin betul kata orang. Cinta tak mengenal darjat.

Syafinas tidak pernah tahu apa pekerjaan ku. Yang dia tahu, pabila dia mencariku, aku sentiasa berada disisinya. Namun dalam kepahitan hidup yang aku lalui. Sebenarnya, aku punya sisi gelap sendiri. Kala malam, aku dikenali sebagai X, sang pembunuh upahan dan dari membunuhlah aku punya wang untuk meneruskan hidup di ibu kota dosa ini. Malangnya, aku perlu bersederhana untuk mengelakkan syak wasangkan dari masyarakat. Normallah, anak muda berumur 21 tahun, mana mungkin punyai wang banyak.
Sudah tiga minggu aku tidak berjumpa sama si dia, misi yang terbaru ini menyulitkan lagi keadaan. Kali ini aku nekad, biar apa pun terjadi. Aku tak peduli lagi. Jadi sebelum apa-apa terjadi. Aku ingin menghabiskan masa bersama si dia sepuas hatiku.

Masuk hari ini, sudah seminggu aku lari dari majikanku, masaku banyak dihabiskan bersama syafinas. Misi yang diberikan sudah tamat tempoh masanya. Kini aku pasrah. Aku tahu masa aku di dunia sudah semakin singkat. Bila-bila masa saja majikanku akan mengambil nyawaku kerana aku ingkar dengan arahannya. Aku tidak mahu lari. Aku tidak mahu hidup dalam buangan. Aku tidak mahu hidup dalam ketakutan. Aku mahu mati di sisi yang aku sayang. Dan kini, aku bersama dia sambil menunggu masa, malaikat maut datang.